Isnin, 8 Ogos 2011

Zaquan sedia galas tugas

Oleh Mohd Amin Jalil
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SEKALIPUN masih dalam proses mengembalikan semula tahap kecergasan, penyerang Negeri Sembilan, Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak (gambar) sedia menggalas tanggungjawab disandarkan pasukan pada saingan Piala Malaysia, yang bermula 6 September ini.

Dia mengaku kecederaan lutut sudah pulih sepenuhnya namun memerlukan masa untuk kembali ke tahap seperti sebelum ini kerana sudah lama tidak beraksi di padang.


“Berdasarkan kenyataan doktor baru-baru ini, kecederaan saya sudah pulih dan berpeluang bermain dalam Piala Malaysia, namun doktor menasihatkan saya supaya berhati-hati dan pastikan tidak lagi terkena terjahan keras.

“Apapun, berita itu satu perkembangan menarik yang sememangnya amat saya nantikan.


“Oleh itu, saya perlu bekerja keras untuk berada pada tahap terbaik memandangkan tekanan yang dihadapi pada saingan Piala Malaysia cukup hebat,” katanya.


Penyerang utama Negeri Sembilan itu sudah mula menjalani latihan dan menunjukkan perkembangan bagus serta yakin boleh diturunkan.

“Bagaimanapun pada peringkat awal, mungkin saya tidak boleh bermain 90 minit perlawanan penuh tetapi itu akan bergantung kepada ketua jurulatih (Mohd Azraai Khor Abdullah).


“Namun jika saya diberi peluang untuk berada dalam kesebelasan utama, sudah pastinya saya akan memberikan persembahan terbaik demi membantu pasukan mencapai kejayaan,” kata Zaquan.

Mengulas mengenai kedudukan Negeri Sembilan dalam Kumpulan B bersama Terengganu, Selangor PKNS dan Sime Darby, Zaquan mengaku pasukan tidak boleh memandang rendah keupayaan lawan.


“Terengganu juara Piala FA dan Selangor PKNS pula juara Liga Perdana musim ini, manakala Sime Darby sudah membuktikan kemampuannya dan perlu dihormati.


“Namun saya yakin Negeri Sembilan boleh melepasi setiap halangan itu untuk mara ke final,” katanya.