Rabu, 14 September 2011

SAFEE SALI DI CARDIFF

Zainal mahu Safee, Safiq pamer komitmen 100 peratus

Oleh Nazri Abu Bakar
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

BEKAS bintang bola sepak negara, Zainal Abidin Hassan mengharapkan penyerang Safee Sali dan Safiq Rahim mampu memberikan yang terbaik pada sesi pemilihan selama dua minggu bersama kelab Cardiff City, England.

Baginya, mereka harus mempersembahkan komitmen melebihi 100 peratus untuk membuktikan keupayaan dan menawan hati panel pemilihan kelab itu.


Bekas pertahanan dan penyerang negara 1980-1997 itu berkata, dipanggil menjalani ujian itu sebenarnya satu penghormatan dan perkembangan sihat buat bola sepak negara.

Ia berikutan lebih ramai pemain muda mampu mempamerkan bakat mereka di pentas antarabangsa terutama jika mereka terpilih menyertai skuad utama kelab Liga Divisyen Dua Inggeris itu.


Pemain Paling Berharga (MPV) Piala AFF 1996 itu juga mengharapkan lebih ramai pemain negara berupaya menyertai mana-mana kelab luar negara dalam misi meletakkan bola sepak Malaysia berada di kelas tersendiri.


“Malah, jika lebih ramai yang berpeluang mewakili pasukan di Liga Asia mahupun Eropah tidak mustahil ranking bola sepak negara mampu diperbaiki dalam misi meletakkan dalam kedudukan 70 teratas dunia.

“Jika ranking itu berjaya diperoleh, tidak mustahil ramai lagi pemain mampu beraksi dalam Liga EPL satu hari nanti,” katanya.


Sementara itu, bekas penyerang Selangor 1995-2001, Rizal Hasan berkata, pemilihan itu adalah penghormatan besar buat pemain terbabit.

Baginya, peluang itu harus digunakan sebaiknya bagi membuktikan keupayaan mereka untuk menambat hati panel pemilihan.


Katanya, pemergian mereka dilihat mewakili keupayaan pemain Malaysia yang memerlukan suntikan semangat untuk terus membuktikan generasi baru bola sepak negara mampu mewarnai pentas antarabangsa.