Khamis, 11 Ogos 2011

SEORANG PEMAIN ASA- JEJAK MEGA B-14 MENINGGAL DUNIA

Melaka kehilangan permata cilik

Oleh Nazri Abu Bakar
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

MELAKA kehilangan pemain berbakat besar dalam bola sepak apabila pemain skuad Bawah 14 Tahun, Mohd Ikram Abd Latif meninggal dunia akibat kemalangan di Kampung Bertam Ulu, awal pagi semalam.

Pelajar Sekolah Menengah Tun Haji Abd Malek (STHAM) Cheng yang membantu pasukan Asa Jejak Mega menduduki tangga ketiga Liga Cardiff City, cedera parah di kepala akibat kemalangan terbabit.


Pengurus pasukan, Kamarulazli Jaafar berkata, sepanjang 13 perlawanan liga serta aksi pusingan kedua sehingga ke perlawanan tempat ketiga, Allahyarham adalah pemain utama pasukan.

“Keupayaan mencuri bola dari kaki lawan antara keistimewaan Allahyarham selain kebijaksanaannya mengawal permainan. Beraksi di posisi stopper, Allahyarham menunjukkan kemahiran tinggi walaupun pertama kali digandingkan bersama rakan sepasukan untuk kejohanan itu,” katanya.


Sementara itu, jurulatih Johari Mat Aris berkata, kehilangan Allahyarham amat dirasai bukan saja pasukan malahan pembentukan skuad Melaka masa depan.


Katanya, Allahyarham juga tersenarai mewakili negara ke Kejohanan Bola Sepak Piala Yamaha Asean di Thailand baru-baru ini tetapi kerana berusia 14 tahun, Allahyarham tidak terpilih.

Walaupun dari keluarga tidak berkemampuan, Allahyarham memiliki disiplin tinggi untuk hadir menjalani latihan harian. Ayahnya meninggal dunia dua tahun lalu, ibu pula tidak bekerja dengan hanya abang yang berusia 19 tahun saja berkerja sambilan menanggung keluarga.