Rabu, 10 Ogos 2011

REKOD cemerlang skuad Olimpik negara akhirnya tercalar

Rekod tercalar

Oleh Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

REKOD cemerlang skuad Olimpik negara akhirnya tercalar selepas tewas kepada kelab liga utama Hungary, Budapest Honved FC 4-1 dalam aksi persahabatan, kelmarin.

Kekalahan itu memadam rentetan kemenangan barisan Ong Kim Swee yang melakar tiga kemenangan ke atas tiga kelab liga Slovakia Bodva Moldova 1-0, Topvar Topolcany (2-1) dan Tatron Liptovsky Mikulas (2-1).


Biarpun tumpas, pengendali negara itu tetap tenang kerana matlamat utamanya selama berkampung di Vion Slovakia adalah untuk menilai kemampuan serta meningkatkan prestasi pemain sebelum mengharungi pusingan ketiga kelayakan Sukan Olimpik London 2012 bulan depan.

“Kita kalah kepada pasukan liga utama Hungary yang kini menduduki tangga kelima. Malah Budapest Honved cukup serius dalam perlawanan semalam (kelmarin) apabila mereka turut menurunkan pemain import mereka pada separuh masa kedua.


“Saya dapati pemain kembali mengulangi kesilapan mudah yang menyebabkan kita ketinggalan 3-0 pada separuh masa pertama. Bagi saya, kekalahan ini banyak memberi pengajaran kepada pemain. Saya juga mendapat gambaran mengenai apa yang perlu diperbaiki daripada segi strategi permainan dan disiplin pemain,” katanya yang dihubungi Arena Metro semalam.


Dalam perlawanan yang berlangsung di Budapest, Hungary itu, Kim Swee menurunkan enam pemain kebangsaan termasuk kapten, Khairul Fahmi Che Mat dalam kesebelasan utama.

Namun kelab bekas pemain legenda Hungary dan Real Madrid, Ferenc Fuskas itu berjaya membolosi tiga gol pada separuh masa pertama termasuk jaringan sendiri pemain pertahanan negara, Mahali Jasuli.


Meskipun ketinggalan, skuad Olimpik bangkit melawan dengan menjaringkan satu gol menerusi pemain sayap Wan Zack Haikal Wan Noor sebelum pasukan tuan rumah menyumbat gol keempat menerusi satu serangan balas.

“Pemain berusaha bangkit selepas ketinggalan pada separuh masa pertama namun cabaran lebih sukar kerana Budapest Honved menurunkan pemain import mereka pada babak kedua. Tapi kita berjaya juga menjaringkan gol dan menunjukkan semangat juang tinggi,” katanya.


Skuad Olimpik negara akan mengharungi tiga lagi perlawanan persahabatan menentang kelab liga Slovakia, Dolny Kubiu, FC Nitra dan FC Levice sebelum pulang ke tanah air pada 28 Ogos ini.


Misi utama barisan muda negara itu adalah perlawanan pertama Kumpulan C kelayakan Olimpik dengan Jepun pada 21 September depan di Stadium Tosu.


Malaysia melayakkan diri ke saingan kumpulan selepas melepasi dua halangan awal Pakistan dan Lubnan.