Selasa, 2 Ogos 2011

NORHAFIZ ZAMANI MISBAH KEMBALI KE PASUKAN MALAYSIA

Norhafiz sudah sedia galas tanggungjawab

Oleh Mohd Amin Jalil
am@hmetro.com.my

SELEPAS terpaksa berehat panjang kerana kecederaan, pertahanan Negeri Sembilan, Norhafiz Zamani Misbah, sedia menggalas tanggungjawab besar bersama skuad kebangsaan jika itu pilihan dan amanah yang disandarkan kepadanya oleh ketua jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagopal.

Dia menganggap penyenaraian namanya dalam kelompok 25 pemain yang dipanggil menjalani latihan bermula hari ini sebagai suatu penghargaan selepas berehat panjang kerana kecederaan sebaik selesai mewakili negara pada Sukan Asia, tahun lalu.


“Saya akui penyenaraian ini adalah suatu penghargaan besar daripada pihak pengurusan pasukan kebangsaan selepas terpaksa berehat panjang dan sudah pasti, saya tidak akan mensia-siakan harapan diberikan.

“Walaupun dipanggil bersama skuad kebangsaan bukan perkara baru, saya berjanji untuk memberikan komitmen sepenuhnya ketika latihan kerana sememangnya impian mewakili negara di peringkat antarabangsa masih tersemat di hati ini,” katanya semalam.


Pemain berpengalaman berusia 30 tahun itu terpaksa berehat hampir enam bulan berikutan kecederaan lutut tetapi Norhafiz mengakui dia kini sudah pulih sepenuhnya daripada belenggu itu.


Buktinya apabila dia diturunkan dalam beberapa perlawanan terakhir yang dihadapi Negeri Sembilan pada saingan Liga Super, Jun lalu.

Malah, dia juga turut bersama diberikan tanggungjawab mengawal benteng ketika skuad kebangsaan menentang Chelsea dalam siri perlawanan persahabatan pada 21 Julai lalu.


Bagi pemain berpengalaman itu, usahanya untuk memberikan sumbangan terbaik kepada skuad kebangsaan tidak pernah pudar.

Justeru, dia amat berharap tidak lagi dibelenggu masalah kecederaan yang mengehadkan sumbangannya terhadap dunia bola sepak negara,” katanya.