Sabtu, 27 Ogos 2011

AKADEMI LIVERPOOL DI KL

KLFA, Liverpool jalin kerjasama


MENTERI Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin (tengah) bersama pemain-pemain dan pegawai-pegawai pasukan bola sepak Kuala Lumpur menunjukkan cek di Stadium Bola Sepak Cheras, Kuala Lumpur semalam.


PERSATUAN Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) kini dalam fasa terakhir untuk memeterai perjanjian dengan kelab bola sepak Liga Perdana England, Liverpool FC sebagai rakan program akademi bola sepaknya.

Presiden KLFA, Datuk Astaman Abdul Aziz berkata, perjanjian yang dijangka akan ditandatangani awal November itu hanya akan berjaya jika KLFA mendapat penaja bagi keseluruhan pro- gram itu.

“KLFA kini dalam rundingan terakhir dengan beberapa penaja untuk menyusun satu pelan kewangan jangka panjang bagi membantu perjalanan akademi dan perbelanjaan saingan Liga Super,” katanya pada majlis penyerahan geran tahunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kepada KLFA di ibu negara semalam.

Beliau berkata, jika kerjasama rakan program akademi bola sepak antara Liverpool dan KLFA berjaya, ia adalah julung-julung kali pasukan The Reds itu mempunyai akademi latihan di luar England.

Mengulas mengenai akademi tersebut Astaman berkata, akademi yang terletak di Taman Melati, Kuala Lumpur itu telah siap sepenuhnya dan dijangka mula beroperasi pada Januari 2012.

“Sebagai satu akademi yang baru ditubuhkan, kita akan bermula secara kecil, sesuai dengan kemampuan infrastruktur yang ada,” katanya.

Sementara itu, Astaman merakamkan penghargaan atas sumbangan geran tahunan daripada DBKL berjumlah RM350,000 untuk membantu menyelesaikan soal bayaran gaji pemain dan pegawai KLFA yang tertunggak selama tiga bulan.

“Walaupun jumlah yang diterima kurang daripada peruntukan biasa pada tahun- tahun sebelum ini, KLFA memahami komitmen DBKL untuk pembangunan program rakyat yang lain,” katanya.